News & History

NREB Sarawak meraikan ulang tahun ke-30 dengan pelbagai aktiviti, program
Posted on : 01 Feb 2024  Source of News: Utusan Borneo
 

(Bahasa Malaysia version only)

Len Talif (tiga kanan) bersama Jack (dua kanan) serta jemputan lain memotong kek ulang tahun ke-30 NREB Sarawak. - Gambar Chimon Upon

oleh Agnes Tugong

Kuching, 1 February 2024 Khamis - Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak meraikan ulang tahun ke-30 penubuhannya dengan pelbagai aktiviti dan program akan diadakan sepanjang tahun ini.

Majlis pelancaran sambutan berlangsung semalam di Bilik Mesyuarat, Tingkat 20, Menara Pelita di sini oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Dalam ucapannya, Len Talif yang juga Timbalan Pengerusi NREB berkata sepanjang 30 tahun ini, NREB telah berjaya melaksanakan tugasnya berdasarkan mandat yang diberikan oleh negeri di bawah Seksyen 5 Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Dalam tempoh itu, NREB katanya juga telah berjaya menangani cabaran, halangan dan isu dalam usaha memelihara dan mengurus alam sekitar.

“Sambutan ini bukan hanya untuk mengiktiraf peredaran masa, ia mengenai meraikan mereka yang memainkan peranan penting ke arah kejayaan NREB, kakitangan yang berdedikasi, kerajaan yang menyokong dan pihak berkepentingan,” katanya.

Sempena pelancaran sambutan semalam, turut diperkenalkan tema dan logo ulang tahun ke-30 NREB sebagai menandakan bermulanya sambutan ini.

Tambah Len Talif, bagi meraikan sambutan ulang tahun ini, NREB telah merancang menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini.

Kemuncak sambutan adalah jamuan malam yang akan diadakan pertengahan tahun ini dan akan dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi NREB.

Pada malam itu nanti, Abang Johari turut dijangka akan menyampaikan ucaptama mengenai inisiatif-inisiatif alam sekitar negeri.

“Semasa kita merayakan kejayaan ini, marilah kita merenungkan pencapaian kita, mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan NREB.

“Di bawah bimbingan berterusan Premier, NREB komited untuk menegakkan peranannya dalam menguatkuasakan undang-undang alam sekitar secara berkesan dan proaktif menangani pelbagai isu dan cabaran alam sekitar di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, Len Talif turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pencipta logo dan tema sambutan ulang tahun ke-30 NREB.

Hadir sama Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Jack Liam bersama warga NREB yang lain serta jemputan yang lain.

Quick Link