NREB dicadang ambil alih peranan kendali pencemaran pantai daripada JAS

Posted on 14 Jun 2024
Source of News: Borneo Post
Morris (kiri) menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada wakil jabatan dan agensi kerajaan yang menyertai Program Latihan Melawan Tumpahan Minyak Ex-Empurau 2024 di sebuah hotel di Miri, malam tadi.

oleh Mohd Aliff Idzwan Abdullah

MIRI 13 Jun 2024 Khamis - Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) telah dicadangkan untuk mengambil alih tugas dan peranan selaku pemegang kepada Pelan Tindakan Pembersihan Pantai (PTPP) Negeri daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak, sejajar dengan proses pengambilalihan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik berkata beliau amat mengalu-alukan cadangan ini dan pada dasarnya, menyokong langkah dan tindakan yang diambil oleh kedua-dua pihak di JAS dan NREB. 

“Jika sebelum ini, JAS Negeri Sarawak merupakan pemegang kepada PTPP Negeri sekali gus menjadi urus setia dan penasihat kepada JPTM (Jawatankuasa Pembersihan Tumpahan Minyak) Negeri. 

“Namun di dalam proses pengambilalihan kuasa di bawah MA63, telah dicadangkan tugas dan peranan tersebut akan diambil alih oleh NREB selaku agensi negeri yang berkepentingan di dalam penjagaan dan pengurusan alam sekitar termasuklah pengurusan Buangan Terjadual atau buangan berbahaya yang terhasil dari aktiviti pembersihan pantai akibat tumpahan minyak,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Datuk Clarence Rorote Sagon pada Majlis Perasmian Latihan Melawan Tumpahan Minyak Ex-Empurau 2024 di sebuah hotel di di sini, malam tadi.

Buckland yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menjelaskan di dalam PTPP Sarawak telah dinyatakan dengan jelas peranan agensi-agensi di bawah JPTM serta menggariskan struktur tindak balas sekiranya berlaku kejadian pencemaran tumpahan minyak di pantai. 

“Di dalam pelan ini, agensi utama yang perlu menggerakkan tindak balas dalam kata lain mempengerusikan JPTM adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi kejadian pencemaran melibatkan dua atau lebih bahagian juga dikenali sebagai tindakan pembersihan peringkat negeri. 

“Manakala sekiranya kejadian pencemaran hanya melibatkan satu bahagian contohnya kejadian pencemaran hanya berlaku di pantai sekitar Miri, Residen Bahagian Miri akan mempengerusikan JPTM bagi tindakan pembersihan peringkat daerah atau bahagian,” jelasnya. 

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran program Latihan Melawan Tumpahan Minyak Ex-Empurau 2024 yang dianjurkan bersama oleh JAS, Petronas Carigali Sdn Bhd (Sarawat Asset) dan NREB merupakan satu inisiatif yang sangat baik. 

“Saya percaya polisi industri sendiri telah menetapkan agar pengurusan kecemasan alam sekitar adalah menjadi prioriti utama. 

“Pengendalian kes-kes kecemasan seperti pencemaran alam sekitar perlu dilaksanakan dengan teratur dan sistematik. 

“Matlamat utamanya adalah untuk memastikan pengoperasian industri minyak dan gas khususnya tidak mengakibatkan kes-kes pencemaran alam sekitar yang akhirnya mengakibatkan suatu bencana berlaku di sesuatu tempat,” ujarnya. 

Tambahnya, penglibatan semua pihak di dalam Latihan Ex-Empurau kali ini baik di pihak kerajaan persekutuan mahupun negeri, sektor swasta dan orang awam merupakan satu jalinan kerjasama untuk memastikan pencemaran dapat dibendung dan diatasi bersama. 

“Saya dimaklumkan bahawa pada Latihan Ex-Empurau ini melibatkan agensi-agensi kerajaan Sarawak di bawah JPTM Negeri yang mana ia bertujuan bagi menguji keupayaan pihak berkuasa negeri dalam aspek pembersihan pantai jika tumpahan minyak mencemari pantai Sarawak khususnya. 

“Melalui latihan ini, semua pihak akan dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam menangani kejadian tumpahan minyak serta berupaya memberi sumbangan yang terbaik, tidak mengira masa dan tempat berlakunya kejadian tumpahan minyak pada masa hadapan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah JAS Dato Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, Pengurus Besar Kanan (Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar) Petronas Carigali Sdn Bhd – Upstream Morris Mail dan Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Jack Liam. 

Program Latihan Melawan Tumpahan Minyak Ex-Empurau 2024 itu diadakan selama tiga hari sehingga hari ini, melibatkan penyertaan 44 jabatan dan agensi kerajaan serta tiga kontraktor.


Best viewed with Firefox, Google Chrome in 1920 x 1080 screen resolution.
© Copyright of Natural Resources And Environment Board Sarawak
Last Updated On 06 Sep 2024

Operation Hours :

Monday - Thursday
8:00 am - 1:00 pm & 2:00 pm - 5:00 pm
Friday
8:00 am - 11:45 am & 2:30 pm - 5:00 pm

Payment Counter :

Monday - Thursday
8:30 am - 12:30 noon & 2:00 pm - 3:00 pm
Friday
8:30 am - 11:00 am & 2:30 pm - 3:00 pm

* Close on Saturday, Sunday and Public Holiday
image Announcement