Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak bakal perkenal ciri baharu

Posted on 07 Dec 2023
Source of News: Utusan Borneo

Kuching, 6 Disember 2023 (Rabu): Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) Ke-11 (2023/2024) bakal memperkenalkan ciri baharu yang lebih menarik berbanding edisi sebelum ini.

Len Talif (empat kiri) meletakkan tapak tangan pada tablet sebagai simbolik pelancaran PSEA Ke-11 hari ini. Turut kelihatan (dari kiri) Wee, Chia dan Jack.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata buat julung kalinya, johan bagi setiap kategori yang dipertandingkan, tidak hanya akan membawa pulang trofi berserta sijil tetapi insentif wang tunai.

Ia katanya untuk terus mengiktiraf usaha mereka yang cukup luar biasa dalam kelestarian alam sekitar di negeri ini khasnya.

Beliau berkata ia sesuai dengan tema PSEA Ke-11 iaitu 'Incorporating Environmental Sustainability into Practices' (Menggabungkan Kelestarian Alam Sekitar ke dalam Amalan).

"Johan kategori Perusahaan Besar dan Syarikat Berkaitan Kerajaan akan memenangi insentif wang tunai RM20,000, Perusahaan Sederhana pula RM15,000, Perusahaan Kecil, Agensi Kerajaan, Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran masing-masing menerima RM10,000 manakala Majlis Daerah, Pasukan, Individu, Kedai Makan, dan Kedai Makanan masing-masing menerima RM8,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PSEA Ke-11 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Len Talif berkata semua pemegang taruh dialu-alukan menyertai PSEA Ke-11 yang mempromosikan budaya keprihatinan alam sekitar sejajar visi Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) iaitu Sarawak Hijau, Bersih dan Sihat.

"Sektor perniagaan dan perindustrian merupakan pemacu pertumbuhan negeri Sarawak dan Anugerah ini adalah peluang unik mendapatkan pengiktirafan umum bagi usaha pengawasan alam sekitar yang dilaksanakan.

"Anugerah ini bukan sekadar trofi, ia melambangkan komitmen sektor perniagaan dan perindustrian kepada alam sekitar, menjadikan sektor-sektor terbabit contoh teladan lestari," katanya.

Manakala bagi sektor-sektor kerajaan pula katanya, mengambil bahagian dalam PSEA sangat penting kerana ia menunjukkan komitmennya kepada tanggungjawab alam sekitar, memberi inspirasi kepada sektor awam dan swasta.

Beliau turut mempelawa penyertaan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana menurutnya penglibatan dalam PSEA adalah kunci untuk memajukan tanggungjawab alam sekitar di kawasan seliaan, memupuk kemampanan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.

"Bagi individu dan pasukan, kami mengharapkan penyertaan anda. Ini penting bagi mempamerkan usaha-usaha alam sekitar anda yang cemerlang.

"Ini bukan hanya satu pengiktirafan tetapi peluang untuk memberi inspirasi sebagai pemimpin kemampanan, menjadi contoh teladan kepada semua," katanya.

PSEA Ke-11 juga membuka penyertaan daripada penjual makanan bermula daripada medan selera dan francais kepada bistro dan restoran kerana sektor ini mempunyai potensi besar memacu pengawasan alam sekitar, tambahnya.

"PSEA Ke-11 adalah anugerah alam sekitar yang berprestij. Oleh itu saya menggalakkan industri, perniagaan dan orang ramai mengambil bahagian.

"Saya teruja untuk melihat penyertaan yang lebih hebat pada edisi kali ini memandang pada edisi ke-10, 144 penyertaan direkodkan," katanya.

Acara dwitahunan itu mula diperkenalkan pada 2001 sebagai Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA), terus menampak perkembangan membanggakan dan kini dikenali PSEA.

PSEA Ke-11 dianjurkan bersama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Sarawak Business Federation (SBF) dengan kolaboratif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), beberapa kementerian serta agensi-agensi.

Hadir sama pada majlis itu Setiausaha Agung SBF Dato Jonathan Chai, Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Jack Liam dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng.



Best viewed with Firefox, Google Chrome in 1920 x 1080 screen resolution.
© Copyright of Natural Resources And Environment Board Sarawak
Last Updated On 06 Sep 2024

Operation Hours :

Monday - Thursday
8:00 am - 1:00 pm & 2:00 pm - 5:00 pm
Friday
8:00 am - 11:45 am & 2:30 pm - 5:00 pm

Payment Counter :

Monday - Thursday
8:30 am - 12:30 noon & 2:00 pm - 3:00 pm
Friday
8:30 am - 11:00 am & 2:30 pm - 3:00 pm

* Close on Saturday, Sunday and Public Holiday
image Announcement