Kuching 31 Okt 2024 Khamis - Semangat kesepaduan dalam kalangan rakyat, penjawat awam dan sektor swasta di Sarawak amat penting dalam usaha membantu merealisasikan impian wilayah ini untuk menjadi sebuah wilayah yang lestari.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pentadbiran), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, impian yang dicetuskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk melestarikan negeri ini bukanlah impian beliau semata-mata malah aspirasi bersama semua rakyat Sarawak.
“Sebagai sebuah wilayah, kita harus memberi penekanan yang kuat terhadap kelestarian dalam strategi ekonomi kita.
“Masyarakat di Sarawak haruslah berkembang maju dipacu oleh data dan inovasi, di mana kemakmuran ekonomi, keinklusifan sosial, dan kelestarian alam sekitar menjadi asas pertumbuhan kita,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Seminar Pengurusan Alam Sekitar untuk Kelestarian di sini, pada Khamis.
Seminar tersebut menjadi platform pihak berkepentingan untuk membincangkan strategi bagi memajukan agenda kelestarian Sarawak.
Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel turut menekankan keperluan untuk ekonomi yang bersih, mendesak pihak berkepentingan untuk mengutamakan inovasi dan digitalisasi berbanding industri berasaskan sumber tradisional selaras dengan objektif jangka panjang negeri.
Turut hadir di majlis tersebut Kontroler Kualiti Alam Sekitar (NREB) Sarawak, Datu Jack Liam serta yang lain.
