Sarawak berjaya kumpul 218,779 kg bahan e-waste, kedua tertinggi di Malaysia |
Posted on : 09 Nov 2023 Source of News: Suara Sarawak |
KUCHING, 8 November 2023: Sarawak merekodkan penggumpulan buangan Elektrik dan Elektronik (e-waste) kedua tertinggi di Malaysia pada tahun lalu dengan kutipan sebanyak 218,779 kilogram (kg). Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mewakili Premier Sarawak pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sarawak 2023 di Kuching, hari ini. Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hasil itu diperoleh daripada kempen pengumpulan bahan buangan e-waste yang dijalankan di 26 lokasi seluruh negeri ini. “Kempen tersebut diteruskan sepanjang tahun ini dan setakat 31 Oktober lalu, sejumlah 96,524.99 kg telah berjaya dikutip dari 32 lokasi di seluruh Sarawak. “Program berkenaan telah membawa impak positif apabila semakin ramai rakyat kita sedar tentang kepentingan menguruskan pembuangan e-waste dengan betul serta mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya. Abang Johari yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sarawak 2023 yang dibacakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di sini, hari ini. Mengulas lanjut, ujarnya kempen yang bermula tahun 2022 itu merupakan salah satu inisiatif pemuliharaan alam sekitar dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sektor swasta. |