News & History

Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, NREB dan JAS Bekerjasama Bendung Pembuangan E-waste
Posted on : 12 Feb 2022  Source of News: UKAS
 


KUCHING: Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bekerjasama untuk melaksanakan Program Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elekronik (BEE) di Sarawak.

Menteri Muda Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, beliau menyambut baik kolaborasi sejak 2021 dengan menggalakkan orang ramai melupuskan buangan elektrikal dan elektronik di rumah dengan cara yang baik dan menggalakkan penglibatan masyarakat di dalam program kitar semula bahan-bahan buangan.

Menurut beliau, pihaknya dengan kerjasama NREB dan JAS akan melaksanakan kempen-kempen pengumpulan E-waste di seluruh Sarawak melalui kontraktor yang dilesenkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Sebanyak 12 aktiviti pengumpulan secara berkelompok telah dirancang untuk tahun 2022 ini, merangkumi Kuching sehingga Miri.

“Jika E-waste dibuang tanpa mengguna-pakai kaedah yang mesra alam seperti buang ke dalam sungai, ke tapak pelupusan, membakar secara sesuka hati atau diberikan kepada pihak yang tidak sepatutnya, e-waste ini berupaya untuk membahayakan kehidupan, menjejaskan kesihatan kita dan menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menyeru segenap lapisan masyarakat agar melupuskan e-waste dengan sempurna mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan dikendalikan oleh pihak atau premis yang dilesenkan oleh JAS.

Beliau juga percaya, usaha murni pengumpulan BEE akan menjadi pemangkin ke arah kelestarian alam sekitar di Sarawak.

“E-waste kini telah menjadi masalah di seluruh dunia. Semakin banyak barangan elektrik dan elektronik yang dihasilkan, semakin banyak juga e-waste yang perlu dibuang dan diuruskan.

“Sarawak tidak terkecuali daripada masalah ini, jika langkah-langkah pencegahan tidak dilaksanakan mulai dari sekarang. Untuk rekod, kutipan E-waste di Negeri Sarawak pada tahun 2020 adalah sebanyak 73.4 metrik tan, dan 14.9 metrik tan pada tahun 2021,” katanya.

E-waste merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi atau lama seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti sejuk dan pendingin hawa.

Di Malaysia, e-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Penjanaan e-waste terbahagi kepada dua jenis punca iaitu daripada sektor industri dan yang dihasilkan daripada isi rumah.

Kod SW110 ditafsirkan sebagai buangan daripada pemasangan elektrikal dan elektronik yang mengandungi komponen seperti akumulator, suis raksa, kaca daripada tiub sinar katod dan kaca teraktif atau kapasitor bifenil terpoliklorin yang lain, atau yang dicemari dengan kadmium, raksa, plumbum, nikel, kromium, kuprum, litium, perak, mangan, atau bifenil terpoliklorin. -EDISI UKAS


Quick Link